Kira-kira 20 tahun lalu, Daniel Chong dikejutkan dengan berita
bahawa rakan baiknya terlibat dalam kemalangan jalan raya dan
kehilangan banyak darah.
Atas semangat setiakawan, dia bergegas ke hospital berkenaan untuk
mendermakan darah bagi menyelamatkan nyawa rakannya. Namun niat
murninya itu berakhir tanpa dilunaskan apabila dia sendiri terpaksa
ditahan di hospital yang sama gara-gara menunjukkan petanda hipertensi.
"Alangkah terkejutnya saya ketika itu kerana saya langsung tidak
mengalami sebarang simptom yang berkaitan dengan hipertensi sebelumnya.
Doktor memberitahu dengan bacaan tekanan darah 190, saya berisiko
mendapat serangan strok minor.
"Cuma saya perasan, imej yang saya pandang kelihatan semakin
mengecil dan mengalami pening-pening biasa. Keadaan itu kemudian hilang
apabila saya berjalan-jalan dan berehat sebentar," katanya yang kini
berusia 52 tahun.
Tambahnya, penyakit darah tingginya itu diwarisi daripada ibunya
yang menghidap hipertensi selain faktor penyumbang lain seperti tekanan
kerja dan gaya hidup tidak sihat.
Bagi Zubaidah Omar, 56, yang merupakan seorang guru, dia tidak
menyedari bahawa dirinya mempunyai penyakit tekanan darah tinggi
sehinggalah dia berjumpa dengan doktor kerana mengalami kebas di
bahagian kepala.
"Ketika itulah, doktor memberitahu saya mempunyai penyakit darah
tinggi dengan kadar tekanan 190 berbanding tekanan normal 120 dan
mempunyai risiko strok jika lambat mendapatkan rawatan.
"Saya diberikan ubat, tetapi apabila tekanan darah sudah normal saya
jarang mengambil ubat. Sehinggalah pada satu masa ia kembali naik,"
katanya yang hanya menyedari menghidap penyakit itu dua tahun lalu.
Hipertensi atau darah tinggi yang merupakan pembunuh senyap merujuk
kepada tahap tekanan darah yang meningkat lebih tinggi dari tahap biasa
secara kronik.
Pesakit yang mempunyai sekurang-kurangnya tiga bacaan tekanan darah
yang melebihi 140/90mmHg semasa keadaan rehat dijangka mempunyai
keadaan darah tinggi.
Pakar Kardiologi dan Pengarah Klinikal Perkhidmatan Kecemasan
Jantung, Institut Jantung Negara (IJN), Datuk Dr. Azhari Rosman
memberitahu, hipertensi merupakan sejenis penyakit yang menyebabkan
tekanan darah melebihi tekanan normal.
"Tekanan darah memang penting untuk menyalurkan darah kepada otot
dan kepada organ-organ penting terutamanya otak, jantung dan buah
pinggang.
"Tetapi kalau darah terlalu tinggi, lama-kelamaan keadaan tersebut
boleh merosakkan organ-organ penting, yang paling ketara sekali ia
boleh merosakkan pembuluh darah itu sendiri," katanya.
Tambahnya, paras kolestrol yang tidak terkawal juga boleh
menyebabkan pembuluh darah menjadi keras akibat penebalan kolestrol
(arteriosklerosis) yang menyumbang kepada kerosakan organ.
"Hipertensi pada awalnya memang tiada sebarang gejala. Kalau kita
tidak rawat dari awal, insiden kali pertama boleh terjadi dalam bentuk
komplikasi seperti serangan jantung, kegagalan jantung, strok dan
kerosakan buah pinggang.
"Keadaan tersebut boleh berlaku seberapa cepat bergantung kepada
berapa tinggi tahap hipertensi dan berapa lama seseorang pesakit itu
mengalaminya. Komplikasi tersebut akan berlaku dengan cepat apabila
seseorang pesakit itu mempunyai penyakit-penyakit lain seperti kencing
manis dan merokok," jelasnya.
Banyak faktor yang boleh menyumbang kepada hipertensi iaitu keturunan, berat badan, tahap stres dan gaya hidup.
Menurutnya, hipertensi bukan seperti selesema. Hipertensi sudah
bertapak lama dalam diri seseorang pesakit tanpa disedari. Jika
hipertensi berada di peringkat awal, boleh dikawal dengan perubahan
gaya hidup seperti senaman 120 minit seminggu, kurangkan makanan
bergaram dan berkolesterol.
"Kerosakan sudah mula berlaku tetapi tidak semestinya ia akan menimbulkan strok kecuali apabila umur meningkat. Hanya sebahagian kecil penghidap hipertensi menunjukkan gejala yang tidak beberapa ketara seperti pening kepala, mabuk dan kabur mata.
"Oleh yang demikian, kita perlu sentiasa periksa tekanan darah
lebih-lebih lagi mereka yang menjangkau usia 30 tahun terutamanya
kepada mereka yang mempunyai sejarah keluarga supaya hipertensi boleh
dikesan dan dicegah pada awal lagi," ujarnya.
Azhari memberitahu penyakit ini tidak akan hilang dan dalam
kebanyakan kes ia boleh diklasifikasikan sebagai penyakit seumur hidup
kerana seseorang penghidap hipertensi itu perlu bergantung pada ubat
bagi mengawal tekanan darahnya.
"Penyakit ini bukan seperti selesema, hari ini dapat minggu depan
sudah baik dan boleh berhenti ubat. Ini penyakit seumur hidup, sentiasa
kena jumpa doktor, makan ubat, amalkan gaya hidup sihat.
"Jika ada di antara penghidap hipertensi mahu mengamalkan ubat
tradisional seperti herba hempedu bumi, tunjuk langit, misai kucing dan
sebagainya, mereka perlu mendapatkan nasihat doktor terlebih dahulu.
Jangan sesekali berhenti mengambil ubat," pesannya.
Beliau mempamerkan kebimbangannya berhubung peningkatan penghidap
hipertensi saban tahun memandangkan amalan hidup dan pemakanan yang
tidak sihat diterapkan oleh ibu bapa kini terhadap anak masing-masing.
Katanya, kemungkinan pada masa akan datang risiko untuk mendapat hipertensi lebih awal.
"Kini, rakyat Malaysia belum merasai impak penyakit ini sepenuhnya.
Kita akan merasai impaknya 15 tahun akan datang memandangkan kumpulan
sekarang yang melalui cara hidup kurang sihat
"Dalam jangka masa 10 tahun akan datang, lebih ramai kelompok orang
muda menghidapi penyakit ini dan terdedah kepada risiko strok, sakit
jantung serta kegagalan buah pinggang.
"Hipertensi bukan lagi sakit yang menyerang orang tua, malah orang
muda juga berpotensi untuk mengalaminya jika gaya hidup sihat tidak
diamalkan," katanya.
This
article was first published in Kosmo on 22 June 2010.